RAWATAN BEKAM HOLISTIK

Berbekam, buang toksik dalam darah

APABILA membicarakan mengenai rawatan bekam, mungkin ada yang tidak berani mencubanya kerana beranggapan rawatan itu menyakitkan.

Mungkin kerana mereka membayangkan proses mengeluarkan darah menggunakan pisau atau jarum tanpa diletakkan ubat bius terlebih dulu.

 

Tanggapan rawatan itu menyakitkan disangkal oleh kebanyakan pengamal perubatan tradisional yang juga jurubekam,

Mereka yang mahu berbekam hanya akan mengalami rasa sakit seakan digigit semut. Kesan rawatan pula bergantung kepada pesakit itu sendiri. Ada pesakit langsung tidak rasa apa-apa, ada rasa sedikit geli ketika dicucuk jarum.

Ini kerana bekam tidak menggunakan ubat bius, namun proses sedutan angin pada permulaan rawatan menjadikan kulit kebas.

Proses sedutan ini juga akan menebalkan kulit dan sebenarnya bertindak sebagai bius secara semula jadi.

Bekam buang darah

Bekam adalah rawatan yang begitu digalakkan, membabitkan proses membuang darah bertoksik yang ada di bawah permukaan kulit.

Pembuangan itu bertujuan melancarkan peredaran darah selain membuang angin dalam badan yang menimbulkan rasa tidak selesa.

Rawatan bekam juga kata beliau, mempunyai banyak faedah termasuklah meringankan otot yang kejang, mengatasi ketegangan berpanjangan serta membebaskan angin kotor dan toksik dalam badan.

"Rawatan bekam membantu menyelesaikan masalah kesihatan yang tidak mampu diatasi dengan rawatan perubatan moden di samping menyegar dan menyihatkan badan.

"Menariknya, walaupun bekam adalah amalan sunnah Rasulullah SAW, namun rawatan itu bukan saja mendapat sambutan daripada orang Islam saja, malah bukan Islam yang turut melakukannya,"

Bukan rawatan jalanan

Masih masih ada segelintir masyarakat yang mempunyai persepsi tidak tepat mengenai rawatan bekam dan jurubekam.

Persepsi berkenaan mungkin timbul disebabkan kewujudan segelintir jurubekam yang menawarkan khidmat bekam di kawasan tidak sesuai dan tidak dijamin kebersihannya.

Bekam bukanlah rawatan jalanan, jurubekam perlu menjalani latihan sebelum memperoleh sijil bagi melayakkan mereka menjalani rawatan.

"Kami menjaga prosedur operasi kerana keselamatan dan kesihatan pesakit diutamakan.

"Bukan semua orang boleh menjalani bekam. Setiap pesakit perlu diambil tekanan darah terlebih dulu kerana mereka yang mempunyai tekanan darah rendah tidak sesuai berbekam,"

Prosedur rawatan

Diagnosis

Tanya pesakit mengenai masalah kesihatan yang dialami. Tekanan darah, nadi dan bacaan gula akan diambil terlebih dulu sebelum jurubekam membuat keputusan pesakit sesuai berbekam atau tidak.

Bersih kawasan bekam

Kawasan yang ingin dibekam dibersihkan menggunakan iodin atau minyak zaitun

Bekam angin dilakukan

Proses sedutan angin dibuat selama lima hingga 10 minit. Ini bertujuan mengumpul darah kotor (oksidan), toksik, sel mati dan angin.

Buka cawan bekam dan sayat

Cawan bekam yang digunakan ketika sedutan angin akan dibuka dan kulit akan dilukakan sedikit menerusi proses sayatan nipis (jika guna pisau) atau tusukan jarum.

Letak cawan bekam, sedut darah

Proses ini berlangsung sepuluh minit bergantung kepada pesakit. Darah disedut sampai keluar plasma (cecair berwarna putih).

Sapuan antiseptik

Dibuat sejurus rawatan berakhir

Peralatan untuk berbekam

  • Cawan bekam dan pam
  • Sarung tangan getah
  • Forcep
  • Pisau bedah
  • Kapas atau tisu
  • Iodin atau minyak zaitun

Panduan sebelum, selepas rawatan:

Sebelum

*Jangan makan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum berbekam

Sebaiknya berbekam dalam keadaan perut kosong. Ini kerana apabila perut penuh, darah akan tertumpu pada bahagian perut untuk proses pencernaan.

*Jangan mandi air sejuk sebelum berbekam

Air sejuk menyebabkan pengaliran darah di bawah permukaan kulit perlahan. Sekiranya perlu mandi, gunakan air suam.

*Maklumkan kepada jurubekam (sekiranya ada)

- Pengalaman berbekam

- Sejarah penyakit yang dialami

- Alahan kulit

- Jenis ubatan yang diambil

Selepas

* Jangan mandi satu jam selepas berbekam

Bagi mengelakkan luka tusukan terkena air mandian seterusnya menyebabkan jangkitan bakteria yang boleh bahayakan kesihatan

*Kesan lebam

Akan hilang dalam masa dua hingga lima hari, bergantung kepada kesihatan individu.

*Amalkan makan madu

Dinasihatkan makan sedikit madu untuk mengembalikan tenaga.